TERCARI-CARI HIKMAH DI SETIAP YANG BERLAKU

Humaira Nurolhadi
Baca di Substack ↗

Keputusan untuk menyambung pelajaran di bumi yang berbatu-batu jauhnya dari keluarga dan jua berbeza budaya serta bahasanya bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilakukan. Percaya atau tidak, setelah 820 hari keberadaan di sini, terlalu banyak yang dipelajari, disingkapi, dialami, dirasai, dibebani, dijiwai. Dari awal menjejakkan kaki di bumi yang terletak di bahagian Afrika Utara ini, sehinggalah pada hari ini.

Adapun, semuanya tidak pernah berlalu dengan sia-sia. Setiap yang dilalui walaupun meninggalkan parut luka di hati, tapi masih membuahkan pembangunan diri dan kekuatan dalaman. Terlalu indah perjalanan yang telah diatur Ilahi ini. Tersedar akan tiada keputusan yang dipilih di dunia ini menjadi kesalahan besar dalam hidup kita.

Setiap hari, Sang Maha Berkuasa menunjukkan rahmatnya yang besar dan hikmah yang bertempat di sebalik setiap pahit-pahit perjuangan tersebut. Bukan itu sahaja, malah Allah SWT sentiasa menzahirkan keperluan kita untuk diuji sebelum ini.

Selari dengan apa yang dijanjikan oleh Allah dalam firmanNya pada ayat 286 Surah Al-Baqarah :

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya”

Setiap yang diuji, pasti dalam kemampuannya. Ayat inilah yang dipegang erat untuk terus tetap bertahan sehingga hari ini. Dengan memahami dan mengimani bahawa Allah tidak akan pernah memungkiri janji dalam kalamNya, maka ayat ini menguatkan diri sehingga ke hari ini. Menyedari kehinaan diri yang lemah dan tiada apa-apa ini, menjadikan diri terus berbalik kepada Yang Maha Kuat dan Yang Maha Memberi. Benar, pada fitrah sebagai manusia kita lemah dan tidak kuat. Maka, betapa perlunya kita kepada Sang Pencipta. Disinilah dapat kita lihat manifestasi Kalamullah yang sering berlegar di bibir kita :

إِيَّاكَ نَعۡبُدُ وَإِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ

“Hanya Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan” (Surah Al-Fatihah : 5)

Buat setiap yang sedang berjuang,

Teruskan berjuang mengejar apa yang diimpikan. Teruskan berjuang dan bertahan walau terpaksa melalui onak berduri. Sesungguhnya di sinilah tempatnya (dunia) untuk berjuang dan bersusah payah kerana kelak di tempat abadi, kita bakal menikmati setiap nikmat yang dijanjikan.

Percayalah, setiap apa yang terjadi adalah yang terbaik buat kamu. Kamu diuji dengan kekurangan masa, kamu diuji dengan ketidakfahaman, kamu diuji dengan masalah hati, kamu diuji dengan kewangan yang sempit, kamu diuji dengan semua orang di sekelilingmu yang membencimu, kamu diuji dengan lambakan kerja yang kamu rasa luar daripada kemampuanmu, kamu diuji dengan rasa-rasa yang mengganggumu dan setiap ujian yang menimpamu. Setiap yang dihadapi ini, pasti menyampaikan kamu kepada ‘sesuatu’ yang menjadi hadiah daripada Tuhan kepada hambanya. Yang kita rasa buruk di mata kita, namun tidak di mata dan perancangan Tuhan. Begitulah terbatasnya penglihatan dan akal kita sebagai manusia. Firman Allah SWT :

وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui”. [Surah Al-Baqarah : 216]

Terkadang kita akan disinggahi dengan rasa-rasa gelisah pada perkara yang bersifat tidak pasti dan merasa kecewa dengan apa yang telah menjadi cerita masa lampau kita. Kerana kebatasan akal dan penglihatan ini membuatkan kita merasa gentar dengan apa yang bakal dihadapi atas keperitan masa lalu yang tidak pernah terjangkau dek akal.

Berhentilah sebentar dan tanyakan pada diri, adakah kita tidak percaya dengan Sang Pencipta yang bersifat dengan segala kesempurnaan mengatur kehidupan ini dengan terbaik?

Sebagaimana kita merasa selamat untuk menaiki kapal terbang dipandu oleh manusia yang memiliki kepakaran dalam bidang tersebut, sebegitu percaya bahkan lebih lagi yang kita perlu letakkan dalam diri kita kepada Allah yang Maha Mengetahui dalam urusan percaturan ini.

Sahabat PMMM,

Setiap yang ditakdirkan dalam pelayaran bahtera lautan belantara ini punyai hikmah disebaliknya. Teruslah mencari setiap mutiara yang tersimpan dan mengimani apa yang telah kamu pelajari. Perbetulkan cara kamu memandang ujian dalam hidupmu.

Pandanglah ia dengan penuh hikmah bukan dengan penuh kebencian dan unsur negatif. Pasakkanlah peganganmu bahawa ia bukti cinta Tuhanmu buat dirimu. Sedar atau tidak, cerita-cerita lalu yang kamu lalui itulah membentuk diri kamu pada hari ini - seorang yang kuat, seorang yang mendewasa, seorang yang sabar, seorang yang tabah. Ia pastinya tidak berlaku dan tersemai sehari dua, malah asbab kamu diuji kamu mampu bertahan hingga ke hari ini menjalani kehidupanmu seperti biasa dengan pengajaran dan ibrah yang telah kamu dapati.

Latihlah dirimu untuk berprasangka baik kepada Tuhanmu. Tuhan tidak akan pernah menzalimi sesiapa di muka bumi ini menurut janjinya.

Pupuklah rasa syukur atas segala nikmat yang dikurnia dan sabar atas dugaan yang menimpa. Kita mungkin tidak selalu berada di jalan yang lurus dengan keimanan yang sama, namun kita mampu kembali dan berpesan pada diri untuk tetap kuat dan bersandar pada Yang Esa. Sungguh, kita hanya perlu bertahan untuk mencapai misi terbesar kita di sini, meraih redha Ilahi dan Syurga Firdausi. Catatan pesan buat diri ini diakhiri dengan bait syair yang diambil daripada kitab Ta’limul Muta’alim buat renungan dan pedoman.

خزائن المنى على قناطر المحن

“Perbendaharaan cita-cita itu terletak pada banyaknya ujian”

Wallahua’lam.

Coretan diri,

Humaira Nurolhadi,

Mohammedia | 14 Januari 2024.

Kongsi WhatsApp X
Ditulis oleh Humaira Nurolhadi Penulis Pena Maghribi
Bacaan seterusnya

HAYATAN TAYYIBAH SALAH SATU JANJI ALLAH BUAT SOLEH DAN MUKMIN

Maksudnya: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mere...

Baca seterusnya →

Bacaan lain

Semua tulisan →

Pasang Maktabah Insyirah

  1. Tekan butang Kongsi di bar Safari.
  2. Pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Tekan Tambah. Ikon Insyirah akan muncul di skrin utama.