
Pasti pernah. Tiada ragu, tidak ternafi. Setiap daripada kita pasti wujud dalam garis masa kehidupan, fasa di mana kita hilang semangat dan ‘Himmah’ dalam melakukan sesuatu yang kita kejar dan impikan. Kadangkala sehingga terduduk memikirkan apa puncanya dan solusi untuk bangkit semula setelah lama termenung dengan jiwa yang kosong daripada semangat.
Semangat belajar. Semangat nak teruskan kehidupan. Pastinya semangat yang memudar ini kesan daripada masa lalu dan tragedi yang menimpa. Samada sudah terjatuh berkali-kali dihentam badai ombak. Ataupun merasakan hasil usaha keras tidak pernah berhasil dalam kehidupan. Sehingga kita merasakan bahawa tiada guna lagi untuk bersemangat.
Teman, tidak mengapa untuk berada di fasa itu buat seketika. Validasi perasaan dan keadaan juga amat penting dalam kehidupan. Supaya kita lebih menghargai rasa dan masa yang Allah kirimkan. Dari itu jualah kita akan memahami hikmah di sebalik perasaan dan ujian yang dititipkan.
Namun, sedar tidak sedar, ada prinsip dan kefahaman yang perlu kita perbaharui dalam kehidupan. Kita perlu faham dan mengerti bahawa kita adalah manusia yang lemah pada asalnya. Kita adalah manusia yang mati pada asalnya. Kita berada di bumi yang gelap pada asalnya. Kita berada dalam jiwa yang kosong pada asalnya.
Lalu muncul persoalan, dari arah manakah selama ini kehidupan kita terisi?. Pastinya dari Rahmat Allah Yang Maha Mengurniakan. Dengan rahmat Allah, kita miliki kekuatan dan kudrat. Dengan Rahmat Allah jua kita mampu melihat cahaya yang timbul menerangi bumi. Dengan Rahmat Allah jua, jiwa dan ruh yang mati tadi hidup dan mampu menjalani kehidupan di tanah yang terbentang luas ini.
Mungkin selama ini kita merasakan bahawa segala dalam kehidupan berada dalam kawalan kita. Kita merasakan bahawa kita yang menggerakkan anggota badan, kita yang menguruskan, kita yang berkuasa atas segala kehidupan kita, kita yang mengawal manusia untuk suka dan benci kepada kita. Sehingga di saat kita jatuh hilang semangat, kita benar-benar hilang pertimbangan dan jalan untuk bangkit kembali. Ternyata kita tersilap. Bukan kita yang berkuasa, bukan kita yang memiliki kudrat hatta kerdipan mata dan gerakan sendi pada angggota. Kita hanyalah manifestasi kekuasaan dan aturan Tuhan.

Maka hilang semangat itu adalah lumrah dan asal kehidupan manusia. Di saat ini, seharusnya jiwa dan raga kita benar-benar kembali kepada fitrah memerlukan Tuhan untuk memberi bantuan. Hati mula tertunduk dan anggota mula bersujud memohon kekuatan dan pertolongan pada Ilahi. Hakikatnya tanpa kita sedari, ujian ‘hilang semangat’ ini wasilah atau asbab kedekatan kita semula kepada Pencipta setelah terleka dan alpa dengan nikmat yang bertalu-talu dan kesenangan yang terkurnia dalam kehidupan dunia.
Teman, saat kamu kehilangan arah tuju dalam hidupmu, kembalilah kepada pencipta yang memiliki dan mengetahui segalanya. Jadikanlah ‘Taqwa’ sebagai medium untuk kamu kembali kepada pangkal jalan. Kerna dalam AlQuran, Allah telah menjanjikan suatu jalan keluar buat hambaNya yang bertaqwa,
وَمَنْ يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَلْ لَهُ مَخْرَجًا * وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَنْ يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا
Makdsudnya: “Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu”. [Surah at-Talaq :2-3]
Lihatlah betapa baikNya Tuhan ini yang tidak membiarkan hambaNya terkapai-kapai ketika ditimpa musibah. Ayat ini merupakan janjiNya untuk menjadikan jalan keluar dan mengurniakan rezeki yang tidak disangka-sangka bagi orang yang bertaqwa. Apakah Taqwa yang dimaksudkan, apakah kayu ukur menjadi seorang hamba yang bertaqwa?.
Dalam Kitab Musannaf Ibn Abi Syaibah [6/164] ada disebutkan makna “Taqwa” yang didefinisikan oleh Talqu bin Habib yang berbunyi:
"التَّقْوَى الْعَمَل بِطَاعَة الله على نور من الله رَجَاء رحمة الله وَالتَّقوى ترك معاصي الله على نور من الله مَخَافَة عَذَاب الله"
Maksudnya: “Taqwa ialah beramal dengan mentaati Allah atas cahaya (petunjuk) daripadaNya dengan pengharapan Rahmat Allah dan taqwa juga meninggalkan perbuatan maksiat kepada Allah atas cahaya (petunjuk) daripadaNya kerana rasa takut terhadap azab Allah”
Definisi ini jelas sekali menunjukkan bahawa taqwa itu dapat dicapai dengan memenuhi tuntutan dan perintah Allah serta meninggalkan segala laranganNya. Walaupun ia terlihat sebagai satu pesanan yang ‘cliché’, namun sejauh manakah penghayatan dan pengamalan kita terhadap nasihat dan tuntutan untuk menjadi hambaNya yang bertaqwa ini?.
Mulakanlah dengan sekecil-kecil perkara. Perhatikan rutin harian dan kewajipan kepada pencipta dan sebagai seorang hamba. Penuhi hak, perjanjian dan tanggungjawab yang telah termeterai sejak awal lagi ditiupkan ruh dalam jasad ini. Perbetulkan kebiasaan yang tidak pada haknya sehingga tidak terbiasa dengan perkara yang batil. Lihat semula tujuan dan visi terciptanya kita di sini. Beruzlahlah untuk mencari diri kembali. Muhasabah bertanyakan pada diri ‘adakah aku benar-benar memenuhi tuntutan dan apa yang Tuhan nakkan pada aku di sini?’, ‘sedarkah aku bahawa ada kehidupan yang bersifat selamanya yang perlu diperjuangkan di sini?’, ‘benarkah aku menjadikan dunia ini wasilah sampai ke syurga ataupun menjadikan dunia ini syurga tempat aku bersenang-lenang?’. Juga berusahalah untuk meninggalkan maksiat yang lebih membawa kita kepada jalan yang gelap.
Jiwa kita mungkin kehausan makanan rohani yang menyebabkan kita tidak semangat. Terkadang juga terlalu mengejar perkara-perkara yang melelahkan seperti validasi manusia dan kata pujian dunia yang tidak memberi manfaat dan mudarat langsung.
Teman, semangat yang memudar ini juga barangkali kerna kita terlalu menyalahkan takdir dan diri. Amatilah ilmu dan perjalanan iman kepada Qada’ Qadar yang telah kamu telaah sejak sekolah dahulunya. Berhenti mempersalahkan takdir dan diri yang terhumban dalam ujian yang besar di mata akal yang terbatas. Itu adalah lumrah dan fitrah. Begitulah berlegarnya roda kehidupan.
Kembalilah kepada Sang Pencipta. Mulakan ekspedisi menuju jalan ‘Taqwa’ dalam kehidupan. Bangkit semula dari semangat yang memudar. Teruskan bercita-cita dan bervisi di sini. Kita telah ditaklifkan untuk mengimarahkan bumi dengan cara tersendiri. Dan akhir sekali, ketahuilah bahawa setiap yang tercipta di muka bumi ini adalah sama dan yang membezakan kita adalah Taqwa, yang mana ia hanya berada dalam rahsia dan pandangan Allah Azza Wajal.
Sudah validasi perasaan dan semangat yang memudar itu?, jom bangkit semula ! Ada perkara yang perlu kita sama-sama perjuangkan. Bismillah.
Coretan Muhasabah,
HUMAIRA’ BINTI NUROLHADI
(MAHASISWI IJAZAH SARJANA MUDA PENGAJIAN ISLAM, UNIVERSITI HASSAN II MOHAMMEDIA, MAGHRIBI)
