
Adakah tahun yang baharu ini adalah tahun yang sama sahaja seperti tahun yang lepas atau ianya akan menjadi tahun yang jauh lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya?
"الْفُرْصَةُ تَمُرُّ مَرَّ السَّحَابِ، فَانْتَهِزُوا فُرَصَ الْخَيْرِ "
Itulah kata pujangga seorang cendekiawan Islam yang bermaksud “Peluang berlalu seperti berlalunya awan, maka manfaatkanlah akan peluang dengan kebaikan.”
Tidak terasa begitu cepat sekali waktu berlalu, hari demi hari silih berganti, bulan berganti bulan dan tanpa kita sedari, kini kita telah berada di penghujung tahun 1445 Hijrah dan hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum kita memasuki tahun yang baharu. Adakah tahun yang baharu ini adalah tahun yang sama sahaja seperti tahun yang lepas atau tahun yang baharu ini akan menjadi tahun yang jauh lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya? Sepertimana yang kita ketahui bahawasanya seseorang mukmin itu tidak akan jatuh dalam lubang yang sama bahkan dia akan berusaha menjadikan dirinya lebih baik dari hari demi hari. Hal demikian bertepatan dengan sabda Baginda Rasulullah SAW :
لا يُلْدَغُ المؤمِنُ من جُحْرٍ مَرَّتيْنِ
Maksudnya “Seseorang mukmin itu tidak akan terjatuh ke dalam lubang yang sama sebanyak dua kali.”
(Riwayat al Bukhari dan Muslim)
Renungkanlah berapa banyak masa yang telah disia-siakan dengan perkara yang tidak berfaedah. Ketahuilah sesungguhnya orang yang tidak menghargai masanya adalah orang-orang yang rugi sepertimana yang telah disebutkan di dalam al Quran, yang berbunyi :
وَالْعَصْرِ ،إِنَّ الْاِنْسَانَ لَفِيْ خُسْر ،إِلَّا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا وَعَمِلُوا الصّٰلِحٰتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
Maksudnya “Demi Masa. Sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh serta saling menasihati dengan kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran.”
(Surah al Asr : ayat 1-3)
Hal demikian kerana masa merupakan suatu nikmat yang sangat berharga sehinggakan tiada ia berulang lagi kembali, sesungguhnya yang telah berlalu tidak akan kembali lagi. Oleh itu hendaklah kita berusaha untuk memanfaatkan masa kita dengan segala macam amal kebaikan dan jangan kita biarkan masa kita terpenuhi dengan perkara yang tidak berfaedah. Sesungguhnya Imam as Syafi’ie pernah berkata tentang kepentingan masa :
الوَقْتُ سَيْفٌ، فَإِن لَمْ تَقْطَعْهُ قَطَعَكَ، وَنَفْسُكَ إِنْ لَم تُشْغِلْهَا بِالْحَقِّ وَ إِلّاَ شَغَلَتْكَ بِالْبَاطِلِ
Maksudnya “Waktu diibaratkan dengan pedang, sekiranya engkau tidak memotongnya maka ia akan memotongmu. Dan jiwamu sekiranya tidak engkau sibukkan ia dengan kebaikan maka ia akan menyibukkanmu dengan perkara yang batil.”
Bahkan Baginda Rasulullah SAW juga telah menyebutkan bahawasanya masa merupakan suatu nikmat yang dimana sering kali dianggap remeh dan terlepas pandang oleh kebanyakan umat Islam :
نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ منَ النَّاسِ الصِّحَّةُ والفراغُ
Maksudnya “Terdapat dua nikmat yang seringkali kebanyakan manusia lalai padanya, dan dua nikmat tersebut adalah nikmat kesihatan dan nikmat kelapangan masa.”
(Riwayat al Bukhari)
Pernahkan kita mengambil sedikit daripada masa kita untuk memikirkan tentang apa yang telah kita perbuat sepanjang tahun ini? Adakah kita memenuhi tahun ini dengan perbuatan amal soleh ataupun kita memenuhinya dengan perkara yang melalaikan diri daripada Allah SWT? Ingatlah bahawasanya setiap apa yang telah kita perbuat di dunia ini akan disoal dan dibalas di akhirat kelak. Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman di dalam al Quran al Karim :
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اتَّقُوا اللّٰهَ وَلْتَنْظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍۚ وَاتَّقُوا اللّٰهَ ۗاِنَّ اللّٰهَ خَبِيْرٌ ۢبِمَا تَعْمَلُوْنَ
Maksudnya “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan.”
(Surah al Hasyr : ayat 18)

Bahkan Sayyidina Umar al Khattab RA juga telah menyuruh manusia untuk bermuhasabah dan merenung kembali terhadap apa yang telah kita perbuat sepanjang hidup kita sama ada perbuatan kebaikan mahupun sebaliknya :
أَيُّهَا النَّاس! حَاسِبُوا أَنْفُسَكُم قَبْلَ أَنْ تُحَاسَبُوا، وَزِنُوهَا قَبْلَ أَن تُوزَنُوا، وتزينُوا لِلْعَرْضِ الْأَكْبَرِ، يَوْمَ لَا تُخْفَى مِنْكُم خَافِيَة، فَإِنَّمَا يَخَفُّ الْحِسَابَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ عَمَّنْ حَاسِب نَفْسَهُ فِي الدُّنْيَا.
Maksudnya “Wahai manusia! Hisabkanlah diri kamu sebelum kamu dihisab, dan timbangkanlah diri kamu sebelum kamu ditimbang, dan cantikkanlah dirimu untuk penampilan yang lebih besar. , pada hari yang tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi daripada kamu, kerana hisab hanya akan tersembunyi pada hari kiamat daripada orang yang mempertanggungjawabkan dirinya di dunia.”
Sekiranya kita mendapati bahawa diri kita sering kali tergelincir dalam perkara yang tidak diredhai Allah SWT ketahuilah bahawasanya pintu taubat sentiasa terbuka dan Allah SWT menyukai hamba-hambanya yang bertaubat dan kembali kepadanya. Perkara ini terdapat dalam sabdaan Baginda Rasulullah SAW yang berbunyi :
كلُّ ابنِ آدمَ خطَّاءٌ ، وخيرُ الخطَّائينَ التَّوَّابونَ
Maksudnya “Setiap anak adam pasti berbuat salah dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat kepada Allah SWT.”
(Riwayat al Tirmidzi)
Oleh yang demikian itu, janganlah sesekali kita merasa putus asa daripada rahmat Allah SWT dan hendaklah kita berusaha untuk kembali kepadanya. Firman Allah SWT di dalam al Quran :
اِنَّ اللّٰهَ يُحِبُّ التَّوَّابِيْنَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِيْنَ
Maksudnya “Sesungguhnya Allah SWT menyukai hamba-hambanya yang bertaubat dan orang yang menyucikan diri.”
(Surah al Baqarah : ayat 222)
Sebelum mengakhiri penulisan ini, hendaklah bagi kita semua untuk berusaha menjadikan hari-hari yang mendatang lebih baik daripada hari sebelumnya dengan beribadah dan taat kepada Allah SWT kerana sepertimana yang telah dinyatakan pada awal penulisan ini bahawasanya peluang itu berlalu begitu sahaja dan tidak akan menunggu kita. Masih belum terlambat lagi bagi kita untuk berhijrah menjadi insan yang lebih baik, jadikanlah setiap masa kita terpenuhi dengan kebaikan sehinggakan pengakhiran hidup kita ini berada dalam kebaikan.Moga-Moga kita semua termasuk dalam golongan yang dirahmati Allah SWT. Akhir kalam, ingatlah sabda Baginda Rasulullah SAW :
إنَّ الْعَبْدَ لَيعمَلُ فيما يَرَى النَّاسُ عَملَ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَإِنَّهُ لمن أَهْلِ النَّارِ وَيَعْمَلُ فِيمَا يَرَى النَّاسُ عَمَلَ أَهْلِ النَّارِ وَهُوَ مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ وَإِنَّمَا الْأَعْمَالُ بِخَواتِيمِها
Maksudnya “Sungguh ada seorang hamba yang menurut pandangan orang banyak mengamalkan amalan penghuni surga, namun berakhir menjadi penghuni neraka. Sebaliknya ada seorang hamba yang menurut pandangan orang melakukan amalan-amalan penduduk neraka, namun berakhir dengan menjadi penghuni syurga. Sungguh amalan itu dilihat dari akhirnya.”
(Riwayat al Bukhari)
Muhammad Danish Hadif Bin AB Ghafar
(Mahasiswa Markaz Lughah, Universiti Mohamad V, Rabat Maghribi )
