HAYATAN TAYYIBAH SALAH SATU JANJI ALLAH BUAT SOLEH DAN MUKMIN
مَنْ عَمِلَ صَـٰلِحًۭا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌۭ فَلَنُحْيِيَنَّهُۥ حَيَوٰةًۭ طَيِّبَةًۭ ۖ وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ ٩٧
Maksudnya: “Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan” [Surah An-Nahl: 97]
Kehidupan yang baik dan sejahtera menjadi impian buat setiap hamba Allah yang lahir ke bumi ini. Meniti arus kehidupan yang penuh pancaroba ini, kita sering merasa lelah, penat dan hampir berputus asa kerana ujian yang bertubi-tubi menjadi kepastian mengikut kemampuan setiap hambanya. Bukan sahaja itu, ujian dan kenikmatan dunia yang melalaikan juga membawa manusia lebih jauh dari Allah dan tanggungjawabnya.
Dalam Kalamullah yang disebutkan sebagai pembuka penulisan ini menjadi salah satu ayat yang menjadi penyembuh dan penenang buat setiap yang terus berusaha bertahan dan menyempurnakan taklif sebagai hambanya bahkan ia mampu membawa sesiapa yang tergelincir “pulang” ke pangkuan Ar-Rahim (Yang Maha Mengasihi). Seiring dengan firman Allah SWT yang menunjukkan bahawa Al-Quran merupakan penyembuh dan rahmat buat orang mukmin :
وَنُنَزِّلُ مِنَ ٱلْقُرْءَانِ مَا هُوَ شِفَآءٌۭ وَرَحْمَةٌۭ لِّلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ ٱلظَّـٰلِمِينَ إِلَّا خَسَارًۭا ٨٢
Maksudnya: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yangmenjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.[Surah Al-Isra’: 82]
Allah SWT menjanjikan dua ganjaran yang tidak berbelah bahagi dalam ayat di atas buat hambanya.
Pertamanya, kehidupan yang baik yang disebut dalam ayat tersebut sebagai حَيَوٰةً طَيِّبَةً.
Ahli tafsir berbeza pandangan dalam menyatakan makna kehidupan yang baik ini. Kebanyakannya menyebutkan bahawa kalimah ini merujuk kepada keadaan dalaman dan batin seseorang. Imam At-Tabari menafsirkannya dengan rezeki yang halal dan sifat qanaah di dunia, manakala di akhirat merujuk kepada syurga. Imam Zamakhsyari dalam kitabnya Al-Kasyaf juga menisbahkan ia sebagai qanaah di dunia. Manakala Imam Ar-Razi menyatakan bahawa ia merujuk kepada kerehatan jiwa dan Redha dengan Qada’ dan Qadar. Imam Tahir bin ‘Asyur dalam Tahrir wa Tanwir pula merujuk kepada rasa mulia dan redha dengan apa yang ditentukan oleh Allah.
Tafsiran-tafsiran ini jelas menunjukkan bahawa Allah telah menjanjikan kehidupan yang sejahtera yang meliputi pelbagai nikmat yang diperlukan oleh hambanya terutama sekali rezeki yang halal dan baik, ketenangan jiwa, kemuliaan di sisi-Nya, rasa qanaah dalam hidup kita, juga redha dengan apa yang ditentukan oleh Rabb al-Qadir (Tuhan yang Maha Menentukan). Juga jika dikaitkan dengan syarat memperolehnya, ia merujuk kepada impak daripada amalan zahir kepada jiwa seseorang.
Kedua, sebaik-baik ganjaran yang diistilahkan sebagai وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم.
Majoriti mufassirin menafsirkan ayat ini merujuk kepada ganjaran di akhirat, antaranya Imam At-Tabari yang menukilkan tafsir para sahabat dan tabiin serta menguatkan pandangan ini. Begitu juga Imam Az-Zamakhsyari dan Tahir bin ‘Asyur yang menisbahkan ayat ini sebagai ganjaran di akhirat selepas disebutkan ganjaran di dunia pada kalimah sebelumnya iaitu حَيَوٰةً طَيِّبَةً.
Ayat di atas menjadi satu galakan buat orang Islam untuk terus menunaikan amal soleh (مَنْ عَمِلَ صَـٰلِحًۭا) dan beriman dengan akidah yang sahih (وَهُوَ مُؤْمِنٌۭ) untuk mendapatkan kehidupan yang sejahtera dan ganjaran di akhirat kelak.
Siapa sahaja yang tidak mengimpikan kehidupannya dipenuhi dengan ketenangan jua nikmat dan akhiratnya dijanjikan ganjaran yang banyak?.
Perhatikanlah bagaimana Tuhan menggabungkan tanggungjawab (taklif) dan kemuliaan (takrim) dalam ayat Al-Quran. حَيَوٰةً طَيِّبَةً dan وَلَنَجْزِيَنَّهُمْ أَجْرَهُم adalah janji Allah yang benar dan menjadi maqasid (tujuan) buat kita beramal soleh dan beriman.
Tiada kenikmatan dengan bersenang lenang kerana Allah tidak membentuk manusia dengan keadaan yang kosong, Allah memberi tanggungjawab yang mendisiplinkan hambanya kemudian memberikan kenikmatan ganjaran sebagai balasan keimanan mereka.
Tiada jua kesusahan tanpa kemudahan, walau apa jua rintangan yang terus membadai, kita sentiasa percaya dengan sunnatullah yang sentiasa mempersiapkan kenikmatan setelah mengharungi jalan kepayahan. Begitulah ayat ini mengajar bagaimana perintah Tuhan datang dengan kemuliaan buat hambaNya.
Teruskan beramal mengikut kemampuan masing-masing dan jadikanlah ayat Al-Quran serta janji-janji Allah ini sebagai pembakar semangat untuk terus beramal dan beriman. Sungguh, janji Allah itu benar dan inilah tujuan utama kita sebagai hamba yang beribadah kepadaNya ! Siru ‘ala barakatillah.
𝘖𝘭𝘦𝘩 : 𝘏𝘶𝘮𝘢𝘪𝘳𝘢’ 𝘉𝘪𝘯𝘵𝘪 𝘕𝘶𝘳𝘰𝘭𝘩𝘢𝘥𝘪
𝘔𝘢𝘩𝘢𝘴𝘪𝘴𝘸𝘢 𝘐𝘫𝘢𝘻𝘢𝘩 𝘚𝘢𝘳𝘫𝘢𝘯𝘢 𝘞𝘢𝘤𝘢𝘯𝘢 𝘈𝘭-𝘘𝘶𝘳𝘢𝘯 𝘥𝘢𝘯 𝘔𝘦𝘵𝘰𝘥𝘰𝘭𝘰𝘨𝘪 𝘛𝘢𝘧𝘴𝘪𝘳 𝘜𝘯𝘪𝘷𝘦𝘳𝘴𝘪𝘵𝘪 𝘐𝘣𝘯 𝘛𝘰𝘧𝘢𝘪𝘭, 𝘒𝘦𝘯𝘪𝘵𝘳𝘢, 𝘔𝘢𝘨𝘩𝘳𝘪𝘣𝘪
