Marḥaban Bi-Waṣiyyati Rasūlillāh ﷺ

Abdullah Ishraaq Iqbal Bin Adnan
Baca di Substack ↗

Marḥaban Bi-Waṣiyyati Rasūlillāh ﷺ

Segala puji bagi Allah yang dengan limpah kurnia-Nya telah mempertemukan kita di bumi Maghribi, bumi yang menjadi tempat lahirnya cendekiawan Islam dan saksi kepada perjalanan panjang tradisi ilmu di Barat Islam.

Kedatangan pelajar-pelajar baru ke Maghribi setiap tahun bukan sekadar peristiwa rutin, tetapi satu lembaran baharu dalam kesinambungan warisan ilmu Islam yang gemilang. Mereka datang dari jauh, meninggalkan tanah air dan keluarga, demi menuntut ilmu. Ini tentunya satu pengorbanan yang tinggi nilainya di sisi agama.

Perjalanan menuntut ilmu (الرحلة في طلب العلم) merupakan tradisi yang sangat lama dan mulia. Ia bukan sahaja disebut dalam sirah para ulama terdahulu, bahkan diabadikan dalam Al-Quran dan hadis.

....

[ Rihlah Musa Mencari Ilmu ]

Antara contoh yang paling indah tentang semangat ini ialah kisah Nabi Musa ‘alaihissalām dalam perjalanannya menemui al-Khiḍr, sebagaimana disebut oleh Imam al-Bukhari dalam sahih-nya

(كتاب العلم: باب ما ذُكِرَ في ذهابِ موسى في البحرِ إلى الخضرِ عليهما السلام).

Firman Allah Ta‘ala:

هَلْ أَتَّبِعُكَ عَلَىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمَّا عُلِّمْتَ رُشْدًا [الكهف: 66]

“Bolehkah aku mengikutmu supaya engkau mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu?”

Nabi ﷺ menjelaskan kisah ini dengan lebih terperinci dalam hadis sahih:

“Ketika Musa berada di tengah-tengah kaum Bani Isra’il, datang seorang lelaki bertanya kepadanya: ‘Adakah sesiapa yang lebih berilmu daripadamu?’ Maka jawab Musa: ‘Tidak ada.’ Lalu Allah mewahyukan kepadanya: ‘Ada, hamba Kami al-Khiḍr lebih berilmu.’ Maka Musa pun memohon kepada Allah agar ditunjukkan jalan kepadanya...”

[Riwayat al-Bukhari]

Baginda meneruskan perjalanan bersama pembantunya, menempuh lautan dan kepayahan, sehingga akhirnya menemui Khidr sebagaimana dikisahkan oleh Allah dalam Surah al-Kahf.

Imam Ibn Ḥajar al-‘Asqalānī ketika mensyarahkan hadis ini dalam Fatḥ al-Bārī (1/168) menulis:

“هذا الباب معقود للترغيب في احتمال المشقة في طلب العلم؛ لأن من يغتبط به تحتمل المشقة فيه.”

“Bab ini diletakkan sebagai galakan dan motivasi untuk menanggung kesukaran dalam menuntut ilmu, kerana sesiapa yang mengetahui keindahan ilmu, nescaya akan ringan baginya segala kesulitan di jalannya.”

Beliau turut menyimpulkan beberapa faedah penting daripada kisah ini: bahawa menuntut ilmu menuntut kesabaran, keberanian menempuh perjalanan jauh bahkan meredah lautan serta perlunya membawa bekal dan merendah diri kepada guru. Nabi Musa ‘alaihissalām yang kedudukannya tinggi tetap menunjukkan tawādu‘, meminta izin dan belajar dengan penuh adab daripada al-Khiḍr.

Inilah contoh terbaik tentang rehlah dalam mencari ilmu, serta penekanan bahawa kemuliaan sebenar bukan pada ketinggian kedudukan, tetapi pada kerendahan hati dalam menuntut kebenaran.

....

[Pesanan Nabawi tentang Menyambut Penuntut Ilmu]

Dalam semangat rihlah ilmu inilah saya tertarik untuk berkongsi sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizī dalam Sunan-nya, (باب ما جاء في الاستيصاءِ بمن يطلبُ العلم):

عن أبي سعيدٍ الخُدْريِّ، عن النبيِّ ﷺ قال:

“يأْتِيكُمْ رِجالٌ من قِبَلِ المَشْرقِ يَتعلَّمُونَ، فإذا جاؤوكُمْ، فَاسْتَوْصُوا بهم خيرًا”.

قال: فكانَ أبو سعيدٍ إذا رآنا، قال: مرحبًا بِوَصيَّةِ رسولِ اللهِ ﷺ.

(Sunan al-Tirmizī, no. 2651)

Terjemahan:

Daripada Abū Sa‘īd al-Khudrī RA, daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda:

“akan datang kepada kamu manusia dari Masyriq untuk menuntut ilmu. Maka apabila mereka datang, berpesanlah dengan kebaikan terhadap mereka.”

Abū Harun berkata: “Apabila Abū Sa‘īd al-Khudrī RA melihat kami, beliau berkata: Selamat datang, (wahai orang-orang yang disebut oleh Rasulullah ﷺ dalam wasiatnya).”

Pesanan ini, walaupun datang dengan pelbagai lafaz menerusi jalur dan sanad yang dhaif, namun intipatinya sangat bertepatan dengan hadis-hadis sahih lain (syawahid) tentang keutamaan ilmu dan penuntutnya. Ia menggambarkan betapa tinggi kedudukan mereka yang datang dari tempat-tempat jauh untuk memperdalam agama.

Justeru diriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ mengingatkan para sahabat agar menyambut mereka dengan penuh penghormatan dan kasih, kerana mereka adalah pewaris perjuangan ilmu.

Pesanan ini bukan sekadar nasihat moral, bahkan merupakan satu tradisi keilmuan Islam. Ia menyeru masyarakat ilmu agar mencipta suasana yang mendukung pencarian ilmu iaitu suasana yang dipenuhi dengan rasa hormat, bimbingan, dan ukhuwah. Maka, menyambut penuntut ilmu bukan hanya soal adab, tetapi juga satu bentuk penghargaan terhadap warisan keilmuan Islam itu sendiri.

....

[ Menghidupkan Semangat Ini di PMMM]

Di sinilah peranan Persatuan Mahasiswa Malaysia di Maghribi (PMMM) mengambil makna yang mendalam. PMMM bukan sekadar platform organisasi, tetapi rumah besar bagi seluruh mahasiswa Malaysia yang berhimpun di bawah payung ilmu di bumi Maghribi.

Bagi pelajar baru, kehadiran ke sini mungkin terasa asing, bahasa yang berbeza, budaya yang baru, dan cabaran yang tidak sedikit. Namun ketahuilah, setiap penuntut ilmu yang pernah melalui jalan ini juga pernah merasa hal yang sama. Apa yang membezakan hanyalah sejauh mana kita belajar menyesuaikan diri, berlapang dada, dan memaknai pengalaman ini sebagai sebahagian daripada proses belajar.

Kepada para senior pula, marilah kita meneladani وصية النبي ﷺ dengan menyambut adik-adik baru dengan tangan terbuka. Bimbinglah mereka dengan hikmah, ringan tangan membantu, dan jadilah contoh dalam akhlak serta disiplin ilmu. Merekalah kesinambungan perjuangan kita, dan ukhuwah yang kita bina hari ini akan menjadi kekuatan komuniti pelajar Malaysia di Maghribi pada masa hadapan.

Akhir kalam, Marḥaban bikūm bi-waṣiyyati Rasūlillāh ﷺ. Selamat menempuh kehidupan baru di jalan ilmu. Semoga Allah mempermudahkan urusan kalian semua, menguatkan hati dan menjadikan kita semua penuntut ilmu yang beradab, bersabar, dan bermanfaat.

والله أعلم

𝘼𝙗𝙙𝙪𝙡𝙡𝙖𝙝 𝙄𝙨𝙝𝙧𝙖𝙖𝙦 𝙄𝙦𝙗𝙖𝙡 𝙗𝙞𝙣 𝘼𝙙𝙣𝙖𝙣

𝙈𝙖𝙝𝙖𝙨𝙞𝙨𝙬𝙖 𝙎𝙖𝙧𝙟𝙖𝙣𝙖 𝙋𝙚𝙣𝙜𝙖𝙟𝙞𝙖𝙣 𝙃𝙖𝙙𝙞𝙩𝙝 𝙐𝙣𝙞𝙫𝙚𝙧𝙨𝙞𝙩𝙞 𝙄𝙗𝙣 𝙏𝙤𝙛𝙖𝙞𝙡 𝙆é𝙣𝙞𝙩𝙧𝙖, 𝙈𝙖𝙜𝙝𝙧𝙞𝙗𝙞

Kongsi WhatsApp X
Ditulis oleh Abdullah Ishraaq Iqbal Bin Adnan Penulis Pena Maghribi
Bacaan seterusnya

Khusyuk : Lambang Keimanan

__________ Di antara sifat orang beriman adalah mereka yang khusyuk di dalam solat, sepertimana disebutkan di dalam surah Al-Mukminun, ayat 2 : “Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyannya” Para ulam...

Baca seterusnya →

Bacaan lain

Semua tulisan →

Pasang Maktabah Insyirah

  1. Tekan butang Kongsi di bar Safari.
  2. Pilih Tambah ke Skrin Utama (Add to Home Screen).
  3. Tekan Tambah. Ikon Insyirah akan muncul di skrin utama.