Tentang bagaimana hati belajar menyerah, bukan pada sebab tetapi pada Tuhan yang menciptakan sebab.
Hikmah Ibn ʿAṭāʾillah Tentang Kebergantungan Hati
(مَا تَوَقَّفَ مَطْلَبٌ أَنْتَ طَالِبُهُ بِرَبِّكَ، وَلَا تَيَسَّرَ مَطْلَبٌ أَنْتَ طَالِبُهُ بِنَفْسِكَ)
Maksudnya:“Tidak akan terhenti suatu permintaan yang engkau pinta (dengan bergantung) kepada Allah, dan tidak akan mudah akan permintaan yang engkau pinta (dengan bergantung) kepada dirimu sendiri.”
— Hikmah Ibn ʿAṭāʾillah al-Sakandari
Doa Nabi Muhammad ﷺ
Di antara doa yang selalu dibaca oleh Nabi ﷺ setiap pagi, Baginda berdoa:
“يا حيُّ يا قيُّومُ برحمتِكَ أستغيثُ، أصلِح لي شأني كلَّهُ، ولا تَكلني إلى نفسي طرفةَ عين”
(Riwayat al-Nasa’i)
Maksudnya: “Wahai Yang Maha Hidup lagi Maha Berdiri Sendiri, dengan Rahmat-Mu aku memohon pertolongan. Perbaikilah segala urusanku, dan janganlah Engkau serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata.”
Kebergantungan seseorang sama ada dari segi kekuatan, kemampuan, ilmu, kedudukan, jawatan, atau selainnya akan menyebabkan dia diserahkan kepada siapa yang dia bergantung. Maka akan terangkatlah pertolongan Allah daripada orang yang tidak bergantung kepada-Nya, sebaliknya meletakkan pergantungan kepada makhluk; sama ada kepada dirinya sendiri (yang juga makhluk), atau kepada makhluk yang lain.
Namun sejauh manakah pergantungan itu boleh dipertahankan?. Sejauh manakah makhluk akan terus kekal, jika dibandingkan dengan Tuhan yang Maha Kekal?
Maka jelaslah bahawa semua makhluk bukanlah tempat untuk meletakkan kebergantungan hakiki. Sebaliknya, tidak akan rugi atau dirugikan seseorang yang bergantung kepada Tuhan yang tiada penghujung kekuatan-Nya, tiada yang dapat menandingi keperkasaan-Nya, dan tiada batas kekayaan-Nya. Maka, pergantungan kepada Allah adalah satu-satunya jaminan yang pasti menatijahkan apa yang telah dijamin oleh-Nya.
Oleh sebab itu Syeikh Ibn ʿAṭāʾillah menyebutkan:
مَا تَوَقَّفَ مَطْلَبٌ أَنْتَ طَالِبُهُ بِرَبِّكَ
“Tidak akan terhenti suatu permintaan yang engkau pinta (dengan bergantung) kepada Allah.”
Ayat مَا تَوَقَّفَ bermaksud “tidak akan terhenti” — yakni sentiasa terbuka dan sentiasa akan diberi.
Apabila seseorang bergantung kepada makhluk, maka tidak mudah baginya mencapai apa yang diinginkan, kerana makhluk tidak memiliki segala-galanya.
وَلَا تَيَسَّرَ مَطْلَبٌ أَنْتَ طَالِبُهُ بِنَفْسِكَ
“Dan tidak akan mudah akan permintaan yang engkau pinta (dengan bergantung) kepada dirimu sendiri.”
Inilah makna sebenar tawakal — iaitu menyerahkan segala urusan kepada Allah Taala dengan tetap berusaha mengambil sebab.
Berbicara tentang tawakal, apakah sebenarnya maksud tawakal kepada Allah?.
Tawakal ialah meletakkan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah dengan mengambil sebab, bukan bergantung kepada sebab sambil meninggalkan pergantungan kepada Allah.
Sebagai contoh, seseorang yang sakit akan berubat dengan ubat-ubatan dan berjumpa doktor. Namun, kedua-duanya tidak memberi jaminan penuh untuk mencapai kesembuhan yang diinginkan.
Allah berfirman:
وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ (الطلاق: 3)
Maksudnya: “Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya.” (Surah al-Ṭalāq: 3)
Syeikh Abdul Qadir al-Mandili di dalam kitab Penawar Bagi Hati telah mengupas tentang sifat-sifat orang yang bertawakal, tamsilan bagi sifat mereka antaranya ialah;
Seperti seseorang yang melantik seorang wakil bagi menjawab tuntutan di hadapan qadi, iaitu seorang peguam yang sangat setia kepadanya serta memiliki kepakaran tinggi dalam bidang perundangan. Dengan adanya perwakilan tersebut, individu itu dapat hidup dengan tenang di rumahnya dan tidak dibebani oleh kebimbangan terhadap urusan perbicaraan. Dia juga tidak perlu memohon bantuan daripada pihak lain selain peguam tersebut, kerana keyakinannya bahawa peguam itu berkeupayaan menangkis segala tohmahan, merealisasikan segala tujuan yang dikehendaki, serta tidak mampu ditandingi oleh mana-mana pihak lain.
Analogi ini menggambarkan hakikat pengenalan terhadap Allah Taala, iaitu penyerahan kepercayaan sepenuhnya kepada-Nya.
Menurut logik akal manusia, setiap sebab (punca atau faktor) pasti menghasilkan musabbab (akibat, natijah atau hasil). Namun dalam agama, bukan sebab yang mendatangkan musabbab, sebaliknya Allah-lah yang mendatangkan hasil itu, sama ada melalui sebab atau tanpa sebab.
Kisah Nabi Zakaria A.S dan Saidatina Maryam A.S: Antara Sebab dan Musabbab
Di dalam Al-Quran al-Karim, Allah mengajarkan kita melalui perumpamaan tentang mengambil sebab tetapi tidak bergantung sepenuhnya kepada sebab tersebut. Iaitu melalui kisah Saidatina Maryam A.S ketika berada di mihrab, Allah menghantarkan makanan tanpa ada sesiapa yang menghantarnya. Bahkan tiada seorang pun yang dibenarkan memasuki mihrab itu, kecuali Nabi Zakaria A.S, merangkap bapa saudaranya.
Yang menarik perhatian Nabi Zakaria A.S, apabila baginda memasuki mihrab tersebut, didapati makanan-makanan yang tidak mungkin orang lain dapat menghantarnya kerana makanan itu tidak wujud sama sekali pada musim dan tempat tersebut ketika itu. Lalu Nabi Zakaria A.S bertanya kepada Saidatina Maryam A.S:
كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيْهَا زَكَرِيَّا الْمِحْرَابَ وَجَدَ عِندَهَا رِزْقًا ۖ قَالَ يَا مَرْيَمُ أَنَّىٰ لَكِ هَٰذَا ۖ قَالَتْ هُوَ مِنْ عِندِ اللَّهِ ۖ إِنَّ اللَّهَ يَرْزُقُ مَن يَشَاءُ بِغَيْرِ حِسَابٍ (آل عمران: 37)
Maksudnya: “Setiap kali Zakaria masuk menemuinya di mihrab, ia mendapati makanan di sisinya. Zakaria berkata: ‘Wahai Maryam, dari mana datangnya ini bagimu?” Maryam menjawab: “Itu dari Allah.” Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa hitungan.” (Surah Āli ʿImrān: 37)
Allah berkuasa untuk memberi tanpa sebab atau dengan sebab, kerana Dia tidak tertakluk dengan undang-undang manusia. Tiada yang dapat mengatur Allah Taala pada tindakan dan perbuatan-Nya.
لَا يُسْأَلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْأَلُونَ (الأنبياء: 23)
Maksudnya: “Dia tidak akan ditanya tentang apa yang diperbuat-Nya dan merekalah yang akan ditanya.” (Surah al-Anbiyā’: 23)
Berbalik kepada kejadian yang luar biasa yang dilihat oleh Nabi Zakaria A.S didalam mihrab Saidatina Maryam A.S, iaitu perkara yang mustahil wujud itu boleh wujud tanpa sebab, disitu baginda mengambil ibrah dan berdoa:
هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُ فَقَالَ رَبِّ هَبْ لِي مِن لَّدُنكَ ذُرِّيَّةً طَيِّبَةً ۖ إِنَّكَ سَمِيعُ الدُّعَاءِ (آل عمران: 38)
Maksudnya: “Disanalah Zakaria berdoa kepada Tuhannya seraya berkata: ‘Ya Tuhanku, berilah aku dari sisi Engkau seorang anak yang baik. Sesungguhnya Engkau Maha Pendengar doa.” (Surah Āli ʿImrān: 38)
فَاسْتَجَبْنَا لَهُ وَوَهَبْنَا لَهُ يَحْيَىٰ وَأَصْلَحْنَا لَهُ زَوْجَهُ (آل عمران: 39)
Maksudnya: “Maka Kami memperkenankan doa Zakaria, dan Kami menganugerahkan kepadanya Yahya, serta menjadikan isterinya dapat mengandung.” (Surah Āli ʿImrān: 39)
Maka lahirlah Nabi Yahya A.S, anak baginda Nabi Zakaria A.S.
Subhanallah! Tidak mampukah untuk Allah menjadikan isteri Nabi Zakaria A.S mengandung tanpa disembuhkan penyakit mandulnya?. Sama ada hamil tanpa disembuhkan atau hamil dengan disembuhkan, bagi Allah kedua-duanya adalah sama. Namun, Allah mahu menunjukkan kepada hamba-hamba-Nya bahawa kita perlu mengambil kira sebab tanpa bergantung sepenuhnya kepada sebab itu.
Di sini, orang yang hamil itu pasti tidak mandul, maka Allah menyembuhkan penyakit mandulnya dahulu supaya dapat mengandung. Maka kesembuhan itu menjadi sebab, sementara kebergantungan hakiki tetap kepada Allah.
Hakikat Tawakal antara Sebab dan Musabbab
Setelah melihat kuasa Allah dalam kisah Nabi Zakaria A.S dan Saidatina Maryam A.S, kita dapat memahami bahawa segala urusan di alam ini ditadbir oleh Allah, sama ada melalui sebab atau tanpa sebab. Allah berkuasa memberi dengan atau tanpa sebab, kerana Dia tidak tertakluk kepada undang-undang manusia.
Hakikatnya, Allah meletakkan sebab bukan untuk menjadi tempat pergantungan, tetapi sebagai sarana ibadah (ta‘abbud). Sebagai contoh, orang yang ingin sembuh diperintahkan supaya berubat:
(إِنَّ اللهَ حَيْثُ خَلَقَ الدَّاءَ، خَلَقَ الدَّوَاءَ، فَتَدَاوَوْا) (رواه أحمد) أن رسول الله ﷺ قال:
Maksudnya: Rasulullah S.A.W telah bersabda: “Sesungguhnya Allah ketika menciptakan penyakit, Dia juga menciptakan penawar. Maka berubatlah kamu.” (Riwayat Ahmad)
Begitu juga dalam sunnatullah (ketetapan Allah pada alam) semua perkara bersebab:
وَآتَيْنَاهُ مِن كُلِّ شَيْءٍ سَبَبًا (الكهف: 84)
Maksud: “Dan Kami telah memberikan kepadanya (Zulqarnain) jalan untuk mencapai segala sesuatu.” (Surah Al-Kahfi: 84)
Inilah hakikat bertawakal kepada Allah, dengan mengambil sebab tetapi tidak bergantung kepadanya malah meletakkan kebergantungan hati kepada pencipta sebab iaitu Allah Taala.
‘Gangguan Kebimbangan’ (Anxiety) dan ‘Pemikiran Berlebihan’ (Overthinking) di dalam Kehidupan Kini, Serta Kaitannya dengan Sifat Tawakal
Dalam konteks kehidupan moden, ramai orang terperangkap dalam gangguan kebimbangan dan pemikiran berlebihan. Antara kunci utama untuk mengatasi masalah-masalah ini adalah dengan bermuhasabah diri, memperhatikan semula kepada siapa kita meletakkan kebergantungan hati.
Kebimbangan ialah suatu perasaan semulajadi yang sering dialami dalam kehidupan seharian, seperti rasa cemas apabila menghadapi situasi bahaya. Ianya boleh dianggap tidak normal apabila tahapnya tidak seimbang dengan kadar ancaman yang dihadapi. Cara mengatasi kebimbangan menurut Islam adalah dengan:
1. Memperkuat iman kepada Allah SWT.
2. Memperbanyak ibadah seperti solat, zikir, dan doa.
3. Sentiasa berakhlak mulia dan bertawakkal dengan benar.
Topik kebimbangan mempunyai kaitan yang rapat dengan pemikiran berlebihan. Terdapat tiga perkara yang mungkin berlaku dalam berfikir secara berlebihan (overthinking):
1. Berfikir tentang perkara yang tidak perlu
2. Berfikir dengan cara yang tidak tepat atau tidak selaras dengan realiti
3. Berfikir secara berlebihan
Ketiga-tiganya merupakan suatu pilihan, bukan aspek semulajadi. Berfikir adalah proses kognitif wajar, tetapi berfikir berlebihan boleh menimbulkan kebimbangan yang tidak seimbang dengan ancaman sebenar.
Solusi untuk keluar daripada masalah-masalah sebegini adalah dengan berbalik semula kepada Allah, iaitu dengan mengamalkan konsep tawakal dengan betul, sepertimana yang telah disebutkan tadi. Kita perlu mempunyai cara berfikir bahawa apa sahaja yang akan berlaku kelak adalah sesuatu yang telah ditentukan dan ditampilkan oleh Allah, dalam masa yang sama kita berusaha mengambil sebab untuk sampai kepada musabbab.
Manakala, kebimbangan adalah sesuatu yang wajar, namun ia menjadi tidak wajar apabila kita tidak membuat persiapan, tidak berusaha, dan tidak berikhtiar. Keadaan sebegini akhirnya menimbulkan satu dilema yang tiada penyelesaian dan akan berterusan tanpa henti.
Rumusan
Kesimpulannya, sebagai muslim yang hidup bertuhan, hendaklah kita meletakkan Allah sebagai tempat pertama di dalam keutamaan kehidupan. Jika perkara ini telah berhasil dipupuk didalam diri, maka dengan rahmat Allah akan hilanglah didalam hati segala rasa kegusaran, akan mudahlah kalbu dalam menerima segala ketentuan Ilahi, dan hati akan dapat memandang dengan pandangan yang disingkapkan segala hikmah di setiap peristiwa dan kejadian, serta akan dapat mengetahui ‘cara pandang’ yang benar jika hidupnya sentiasa bersama Tuhan.
Tiada lagi kegusaran didalam hati serta ketakutan tentang hal yang bakal berlaku di kemudian hari jika kepercayaan dan penyerahan diri kepada pemiliknya adalah kukuh dan teguh.
Kembalilah kepada asas tauhid yang benar, ikatan yang kuat dengan Tuhan adalah kunci bagi segala permasalahan serta kepincangan yang wujud di dalam kehidupan seharian. Ketiadaannya adalah punca hilangnya kedamaian hati dan ketenteraman jiwa.
Renungan Akhir: Syair Imam Ali bin Muhammad al-Habshi R.H.M
وَإِذَا تَأَخَّرَ مَطْلَبٌ فَلَرُبَّمَا * فِي ذَاكَ التَأْخِيرِ كُلُّ الْمَطْمَعِ
Dan jika tertunda sesuatu yang engkau pinta, mungkin pada penundaan itu tersimpan seluruh kebaikan dan harapan yang engkau dambakan.
فَاسْتَأْنِسِي بِالْمَنْعِ وَارْعِي حَقَّهُ * إِنَّ الرِّضَا وَصْفُ الْمُنِيبِ الْأَلْمَعِ
Maka tenangkan dirimu saat tidak diberi, dan peliharalah haknya, kerana ketenangan dan keredaan ketika tidak menerima adalah sifat orang yang benar-benar bergantung kepada Allah.
وَإِذَا بَدَا مِنْ نَاطِقِ الْوِجْدَانِ مَا * يَدْعُوك لِلْيَأْسِ الذَّمِيمِ الْأَشْنَعِ
Dan apabila suara hati mula berbisik, mengajakmu kepada rasa putus asa yang tercela,
فَاسْتَيْقِظِي مِنْ نَوْمَةِ الْغَفَلَاتِ وَلْ * يَكُنِ الرَّجَا لَكِ مَرْتَعًا فِيهِ ارْتَعِي
Maka bangkitlah dari lena kelalaianmu, dan jadikanlah harapan kepada Allah itu sebagai padang subur, tempat hatimu meragut ketenangan dan ketenteraman.
𝘚𝘪𝘵𝘪 𝘈𝘴𝘮𝘢’ 𝘉𝘪𝘯𝘵𝘪 𝘙𝘢𝘧𝘪𝘬
𝘔𝘢𝘩𝘢𝘴𝘪𝘴𝘸𝘢 𝘚𝘢𝘳𝘫𝘢𝘯𝘢 𝘗𝘦𝘯𝘨𝘢𝘫𝘪𝘢𝘯 𝘐𝘴𝘭𝘢𝘮 𝘜𝘯𝘪𝘷𝘦𝘳𝘴𝘪𝘵𝘪 𝘔𝘰𝘩𝘢𝘮𝘮𝘦𝘥 𝘝 𝘙𝘢𝘣𝘢𝘵, 𝘔𝘢𝘨𝘩𝘳𝘪𝘣𝘪
