Apabila menyebut kata ramadan, apakah gambaran dalam kotak fikiran kita? Sudah tentu yang difikirkan adalah suatu bulan yang diwajibkan berpuasa kepada semua orang Islam. Itulah gambaran umum tentang ramadan. Tetapi pemahaman kita terhadap ramadan tidak harus terhenti di situ. Mendalami makna ramadan itu penting dalam membuat persediaan dan penghayatan ketika menjalani “Madrasah Ramadan”.
Ramadan merupakan satu anugerah yang sangat berharga kepada umat Nabi Muhammad ﷺ yang mana bulan ini dikhususkan oleh Allah ﷻ kepada umat Islam sahaja. Pada bulan ini berlumba-lumba umat Islam meningkatkan ibadat serta memohon keampunan kepada Allah ﷻ bagi mendapat perlepasan daripada siksaan azab api neraka. Ibadah utama yang disyariaatkan pada bulan ini adalah berpuasa yang di dalam bahasa arab disebut sebagai صيام.
Tahukah kita bagaimana pensyariatan puasa berlaku? Pensyariatan puasa melalui beberapa peringkat yang harus kita ketahui. Pada tahun penghijrahan ikutan kita Nabi Muhammad ﷺ ke Madinah umat Islam berpuasa 3 hari setiap bulan dan puasa 'asyura. Kemudian Allah ﷻ menfardhukan puasa ke atas umat Islam melalui firmannya pada ayat 183 surah al-Baqarah :
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ كُتِبَ عَلَیۡكُمُ ٱلصِّیَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِینَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
" Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa."
Melalui ayat ini juga, kita dapati Allah ﷻ menjelaskan bahawa ibadah puasa ini telah diwajibkan ke atas kaum muslimin sejak zaman Nabi Muhammad ﷺ sehinggalah sekarang dan ibadah puasa inilah adalah amalan yang sama diamalkan oleh umat-umat terdahulu. Namun di dalam ayat ini, Allah ﷻ tidak menjelaskan perincian puasa mereka. Kita tidak mengetahui bagaimana mereka berpuasa? Pada bulan apakah mereka diwajibkan berpuasa? Dan berapa lama mereka berpuasa?
Pada ketika ini kefarduan berpuasa diberi pilihan kepada orang-orang yang sihat dan mampu berpuasa samada mahu berpuasa atau mahu berbuka. Jika mereka memilih untuk berbuka maka mereka perlu membayar fidyah iaitu dengan memberi makan seorang miskin. Perkara ini sepertimana yang difirmankan oleh Allah ﷻ pada ayat 184 surah al-Baqarah :
وَعَلَى ٱلَّذِینَ یُطِیقُونَهُۥ فِدۡیَةࣱ طَعَامُ مِسۡكِینࣲۖ
"Dan wajib bagi orang-orang yang mampu berpuasa (yang diberi pilihan samada mahu berpuasa atau berbuka, tetapi jika mereka memilih untuk berbuka) membayar fidyah."
Pada peringkat seterusnya, kefardhuan puasa di bulan ramadan dinyatakan dengan jelas dan tiada lagi pilihan diberikan kepada kaum muslimin sepertimana difirmankan Allah ﷻ pada ayat 185 surah al-Baqarah :
شَهۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِیۤ أُنزِلَ فِیهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدࣰى لِّلنَّاسِ وَبَیِّنَـٰتࣲ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ ٱلشَّهۡرَ فَلۡیَصُمۡهُۖ وَمَن كَانَ مَرِیضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرࣲ فَعِدَّةࣱ مِّنۡ أَیَّامٍ أُخَرَۗ یُرِیدُ ٱللَّهُ بِكُمُ ٱلۡیُسۡرَ وَلَا یُرِیدُ بِكُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُكۡمِلُوا۟ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا۟ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَىٰكُمۡ وَلَعَلَّكُمۡ تَشۡكُرُونَ
“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa daripada antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur”.
Pada peringkat ini puasa diwajibkan ke atas orang yang mampu, dan diberi rukhsah kepada orang yang sakit dan musafir. Demikian juga bagi orang yang tidur sebelum berbuka puasa dan tersedar setelah masuk waktu berbuka, mereka perlu terus berpuasa sehingga hari yang berikutnya.
Peringkat yang terakhir adalah harus untuk kaum muslimin makan dan minum sepanjang malam samada sebelum tidur atau setelah tidur. Allah ﷻ telah berfirman pada ayat 177 surah al-Baqarah :
أُحِلَّ لَكُمۡ لَیۡلَةَ ٱلصِّیَامِ ٱلرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَاۤىِٕكُمۡۚ هُنَّ لِبَاسࣱ لَّكُمۡ وَأَنتُمۡ لِبَاسࣱ لَّهُنَّۗ عَلِمَ ٱللَّهُ أَنَّكُمۡ كُنتُمۡ تَخۡتَانُونَ أَنفُسَكُمۡ فَتَابَ عَلَیۡكُمۡ وَعَفَا عَنكُمۡۖ فَٱلۡـَٔـٰنَ بَـٰشِرُوهُنَّ وَٱبۡتَغُوا۟ مَا كَتَبَ ٱللَّهُ لَكُمۡۚ وَكُلُوا۟ وَٱشۡرَبُوا۟ حَتَّىٰ یَتَبَیَّنَ لَكُمُ ٱلۡخَیۡطُ ٱلۡأَبۡیَضُ مِنَ ٱلۡخَیۡطِ ٱلۡأَسۡوَدِ مِنَ ٱلۡفَجۡرِۖ ثُمَّ أَتِمُّوا۟ ٱلصِّیَامَ إِلَى ٱلَّیۡلِۚ
"Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)."
Demikian adalah beberapa peringkat pensyariatan puasa pada bulan ramadan yang boleh disimpulkan.
Selain itu, pada bulan ini juga banyak fadilat yang perlu kita ketahui, di antaranya bulan yang mulia ini dibuka seluasnya pintu syurga. Telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah ﷺ bersabda :
(إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة وغلقت أبواب النار وصفدت الشياطين)
(وفي رواية لمسلم (فتحت أبواب الرحمة وغلقت أبواب جهنم وسلسلت الشياطين
"Apabila datangnya ramadan maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelengu syaitan-syaitan"
Sebahagian ulama menyebut bahawa yang demikian adalah berlaku secara haqiqi dan sebahagian lain mengatakan secara majazi. Diantara ulama yang mengatakan secara majazi adalah Sultan al-Ulama Izzu al-Din Abdu al-Salam dan Qadhi 'Iyadh al-Yahsubi al-Sabti dimana ramai orang memperbanyak ketaatan yang menjadi sebab terbukanya pintu-pintu syurga dan mereka dimasukkan ke dalam syurga di samping sedikitnya maksiat dilakukan yang menjadi sebab pintu-pintu syurga tertutup.
“ramai orang memperbanyak ketaatan yang menjadi sebab terbukanya pintu-pintu syurga dan mereka dimasukkan ke dalam syurga di samping sedikitnya maksiat dilakukan yang menjadi sebab pintu-pintu syurga tertutup.”
Selain itu, puasa di bulan ramadan ini juga dapat menghapuskan dosa-dosa yang terdahulu sepertimana sabda Nabi Muhammad ﷺ :
(من صام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه)
"Barang siapa yang berpuasa di bulan ramadan dengan penuh keimanan (beriman dengan kewajipannya) dan penuh pengharapan (berharap ganjaran disisi tuhan), maka akan diampunkan dosanya yang telah lalu."
Berdasarkan hadis di atas, orang-orang mukmin akan bersungguh dalam ibadah puasa di bulan ramadan. Pada masa yang sama, ibadah puasa mendorong orang-orang berpuasa untuk memperbanyak sedekah. Perkara ini adalah kerana orang yang berpuasa tahu dan faham bagaimana rasanya lapar dan demikian memutikkan rasa untuk memberi makan dan sedekah kepada orang yang lapar.
Lebih-lebih lagi, bulan ramadan ini merupakan bulan yang mulia di mana untuk kita mendapatkan ganjaran yang besar serta keampunan daripada Allah ﷻ, kita perlu menjalani bulan ramadan ini dengan penuh adab. Antara adab yang penting yang perlu dititikberatkan adalah menjaga lisan dan anggota daripada melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan syariat Islam.
menjaga lisan dan anggota daripada melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan syariat Islam.
Sabda Nabi Muhammad ﷺ :
(من لم يدع قول الزور والعمل به فليس لله حاجة في أن يدع طعامه وشرابه)
"Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata keji dan melakukan perkara keji, maka Allah ﷻ tidak berhajat kepada perbuatannya meninggalkan makan dan minumnya itu."
Oleh sebab itu, orang yang berpuasa bahkan di bulan ramadan sewajarnya menjaga lisan dan anggotanya sebaik-baiknya daripada perkara yang tidak diredai Allah ﷻ namun, tidak menafikan orang tidak berpuasa juga mesti menjaga lisan dan anggota mereka. Dampak daripada mengabaikan perkara tersebut puasa seseorang itu dianggap sia-sia kerana tidak mendapat ganjaran daripada Allah ﷻ.
Sabda Nabi Muhammad ﷺ :
(رب قائم حظه من قيامه السهر ورب صائم حظه من صيامه الجوع والعطش)
"Boleh jadi orang yang berqiyam itu habuan daripada qiyamnya hanyalah bangun malam dan boleh jadi orang yang berpuasa itu habuan dari puasanya hanyalah lapar dan dahaga."
Setelah kita berusaha untuk fahami dan hayati bulan Ramadan yang mulia ini dari segi pensyariatan, faedah, adab dan yang berkaitan dengannya maka kita akan faham dan yakin bahawa betapa istimewanya bulan ini di sisi umat Islam, pada masa yang sama dapat menjalani “Madrasah Ramadan” dengan penuh persediaan dan penghayatan. Semoga kita semua digolongkan dikalangan hamba-hamba yang bersungguh-sungguh dalan ibadah di bulan Ramadan.
pada masa yang sama dapat menjalani “Madrasah Ramadan” dengan penuh persediaan dan penghayatan.
Akhir kata,
ومن آثر الله آثره الله
“Dan barangsiapa mengutamakan Allah ﷻ maka Allah ﷻ akan mengutamakannya.”
Rujukan :
- Ghayatu al-Ihsan fi Fadhli Zakati al-Fitri wa Fadhli Ramadan karya Sidi Abdullah ibn Muhammad ibn al-Siddiq al-Ghimari.
- Maqasidu al-Saum karya Sultan al-Ulama Al-Izz ibn Abd al-Salam al-Sulami.
Coretan Ramadan
Ahmad Hasani Abu Bakar
Istana Rijal
Sale, Maghribi
29 Syaaban 1445 H
